Jabatan Imigresen rampas 1,150 pasport dan PLKS palsu dalam dua serbuan PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia merampas 1,150 pasport pelbagai negara dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu yang didalangi warga Bangladesh dan tempatan dalam dua serbuan berasingan di Ampang dan Subang Jaya, Selangor minggu ini.

Jabatan Imigresen rampas 1,150 pasport dan PLKS palsu dalam dua serbuan

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia merampas 1,150 pasport pelbagai negara dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu yang didalangi warga Bangladesh dan tempatan dalam dua serbuan berasingan di Ampang dan Subang Jaya, Selangor minggu ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam operasi pertama, jabatan tersebut telah menyerbu sebuah rumah di Taman Pandan Ria, Ampang Selasa lalu.

Jelasnya, dalam serbuan itu, sebanyak 110 pasport warga Bangladesh termasuk tiga pasport palsu dirampas, tujuh keping pelekat Jabatan Imigresen Malaysia, 40 keping sijil pendaftaran vendor palsu, enam telefon bimbit dan tiga komputer riba.

“Seramai lapan orang lelaki warganegara berusia dalam lingkungan 30 hingga 46 tahun ditahan. Lima daripada lapan lelaki itu ditahan tiada dokumen perjalanan yang sah manakala dua lagi mempunyai pasport dan seorang memiliki pasport palsu.

“Kita percaya sindiket ini aktif menjalankan kegiatan pemalsuan pasport dan PLKS sejak tiga tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Khairul Dzaimee, dalam serbuan kedua, jabatan itu telah menyerbu sebuah premis di Subang Jaya semalam dan merampas sebanyak 1,140 pasport.

Jelasnya, daripada jumlah itu, 645 pasport pelbagai negara kebanyakannya Bangladesh, 389 pasport tamat tempoh dan enam pasport palsu dirampas.

“Hasil siasatan mendapati, sindiket yang didalangi sembilan warga Bangladesh dan seorang warga tempatan menyediakan PLKS untuk warga asing pada harga RM2,500 hingga RM3,000 dengan menggunakan dokumen yang mencurigakan.

“Sindiket ini juga dipercayai aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak enam tahun lalu dan telah memproses permohonan pemalsuan PLKS dari kira-kira 20 syarikat,” katanya.

Tambahnya, dengan tertangkapnya kedua-dua sindiket itu, Jabatan Imigresen menganggarkan mengalami kerugian sebanyak RM7.2 juta dalam tempoh tiga tahun.

Jelasnya, jumlah tersebut dianggarkan daripada pembayaran levi PLKS sektor perkhidmatan sekiranya mereka membuat permohonan pas lawatan itu secara sah kepada Jabatan Imigresen.

Kesemua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959 iaitu membuat atau memalsukan atau meminda endorsement untuk digunakan sebagai visa, permit atau pas.

Mereka berdepan dengan hukuman denda sehingga RM30,000 dan penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Maklumat Sumber : Facebook Jabatan Imigresen Malaysia